Rashford Mengharapkan Rundingan Kontrak Paling Lumayan Dari Manchester United, Tuntut Gaji RM2.73 Juta Seminggu

Manchester United mahu mengikat Marcus Rashford dengan kontrak baharu jangka panjang tetapi perlu mengeluarkan bajet besar selepas penyerang itu mengharapkan rundingan kontrak paling lumayan dalam kariernya.

Memetik laporan Harian Metro, Rashford dikatakan berharap dapat menandatangani kontrak baharu dengan Manchester United bernilai lebih £500,000 (RM2.73 juta) seminggu.

Namun bintang England itu terpaksa menunggu lebih lama selepas rundingan tergendala susulan proses penjualan kelab gergasi Inggeris itu yang masih berjalan.

Kontrak yang diinginkan Rashford itu bakal menjadikan dia pemain bergaji paling mahal di Liga Perdana mengatasi Kevin De Bruyne, Erling Haaland dan rakan sepasukan David De Gea.

Marcus Rashford | Gambar : Goal.com

Rashford yang bakal berusia 26 tahun Oktober ini akan memasuki tempoh 12 bulan terakhir dalam kontraknya pada Ogos selepas United mengaktifkan terma lanjutan.

Kontrak baharu itu akan menjadi yang terbesar dan paling penting dalam kariernya selain sebagai ganjaran ke atas kecemerlangannya musim ini.

Sejak menolak tawaran gaji £400,000 (RM2.18 juta) seminggu dari PSG pada musim panas lalu, Rashford kini meledak 27 gol dalam semua kejohanan musim ini dan kembali meraih tempat dalam skuad England.

Gambar : Sky Sports | Sumber : Harian Metro