Man United borong empat pemain baharu termasuk Cavani, Arsenal sambar Partey

156

JOLI sakan. Manchester United menandatangani empat pemain baharu termasuk penyerang antarabangsa Uruguay, Edinson Cavani pada penamat kesibukan pasaran perpindahan pemain antarabangsa yang telah ditutup awal pagi tadi.

Cavani tidak memiliki kelab sejak meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada penghujung Jun lalu.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG berusia 33 tahun itu meledak 200 gol dalam tempoh tujuh musim di Parc des Princes.

Cavani sah menyarung jersi Man United.

Cavani boleh membuat penampilan pertama menentang bekas kelabnya itu ketika United membuka kempen Liga Juara-Juara di PSG pada 20 Oktober ini.

“Manchester United ialah satu daripada kelab terbesar di dunia, jadi ia satu penghormatan untuk berada di sini.

“Saya bekerja keras ketika tiada kelab dan tidak sabar untuk bersaing serta mewakili kelab yang menakjubkan ini,” kata Cavani.

United juga menandatangani pertahanan kanan antarabangsa Brazil, Alex Telles dari Porto dengan bayaran sebanyak 13.5 juta pound (RM72.82 juta), pemain remaja Uruguay, Facundo Pellistri dan bersetuju dengan Atalanta bagi mendapatkan pemain berusia 18 tahun, Amad Diallo pada perpindahan seterusnya Januari tahun depan.

Baca juga:   Ronaldo: Mbappe pemain sensasi terkini, masa depan

Dalam pada itu, Arsenal menandatangani pemain tengah bertahan Thomas Partey dari Atletico Madrid.

The Gunners melakukan pembelian terbesar pada tarikh tutup pasaran perpindahan awal pagi tadi dengan membayar klausa pelepasan pemain kelahiran Ghana itu sebanyak €50 juta (RM244.78 juta).

Partey sudah lama menjadi buruan The Gunners, yang mahu menambah lebih banyak pilihan di bahagian tengah.

Arsenal melengkapkan perpindahan Partey pada saat-saat akhir jendela perpindahan pemain antarabangsa yang ditutup awal pagi tadi.

“Kami sudah melihat Thomas sejak sekian lama, jadi kami gembira untuk menambah pemain dengan kualiti tinggi ke dalam skuad.

“Dia pemain dinamik dengan kekuatan yang baik. Dia membawa banyak pengalaman daripada kelab utama yang bersaing pada tahap tertinggi di La Liga dan Liga Juara-Juara untuk beberapa tahun,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Meskipun jendela perpindahan pemain antarabangsa telah ditutup awal pagi tadi, kelab England masih berpeluang melengkapkan perpindahan pemain secara domestik sehingga pertengahan bulan ini.

Sumber: Berita Harian