juventus belum pasti rehatkan Ronaldo

Maurizio Sarri enggan bercakap panjang lebar mengenai perancangannya yang dikatakan sedia merehatkan Cristiano Ronaldo sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Lyon, hujung bulan ini.

Ronaldo dalam prestasi hebat sejak awal tahun ini apabila merekodkan 11 gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya, malah dia juga berpeluang mengatasi rekod melakukan jaringan dalam 10 perlawanan Serie A berturut-turut.

Kecergasan pemain Portugal itu mendapatkan perhatian wartawan menjelang perlawanan separuh akhir pertama Coppa Italia di Milan awal pagi esok, tetapi Sarri menegaskan bahawa penggempur berkenaan dalam keadaan terbaik menjelang pertemuan dengan Lyon, dua minggu lagi.

“Kita akan lihatnya kelak,” katanya mengenai prospek merehatkan Ronaldo.

“Saya telah bercakap dengannya dan dia memberitahu bahawa dia dalam keadaan yang baik ketika ini, kami akan menilainya berdasarkan satu persatu perlawanan.”

Pengurus itu juga menawarkan perkembangan mengenai Giorgio Chiellini, yang tidak beraksi sejak Ogos lalu, ekoran pembedahan lutut pada September lalu.

Minggu lalu, beliau mendedahkan pertahanan itu semakin pulih dan positif. Chiellini juga sempat mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan muda Juventus dan pasukan tempatan, Chisola.

“Proses pemulihan Chiellini kelihatan baik,” katanya lagi. 

“Dia perlu menjalani beberapa ujian seperti yang dilakukannya pagi ini (semalam).”

Milan akan melangkah ke perlawanan awal pagi esok dengan reputasi kekalahan 2-4 selepas tewas dalam perlawanan ‘derby’ dengan Inter, tetapi Sarri tidak mahu memandang mudah cabaran di San Siro.

“Milan telah meningkat kebelakangan ini,” kata bekas pengendali Chelsea itu yang mengharapkan kebangkitan pasukannya selepas tewas mengejut 1-2 kepada Hellas Verona dalam pertemuan Serie A minggu lalu.

“Mereka akan turun beraksi selepas kekalahan ‘derby’ yang menyaksikan mereka bermain dengan baik. Ini pasti akan menjadi satu perlawanan yang sukar.

“Pasukan saya berlatih dengan baik, menonjolkan keamatan dan berusaha. Tahapnya sangat tinggi.”

 

Sumber – Stadium Astro