Harimau Malaya Hukum Thailand Di Bukit Jalil

Mohamadou Sumareh meraikan jaringan gol yang menundukkan Gajah Putih pada aksi kumpulan G malam tadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Harimau Malaya menundukkan Thailand 2-1 pada aksi kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, menerusi jaringan Brendan Gan dan Mohamadou Sumareh.

Malaysia bangkit selepas tersentak dengan jaringan pembuka Thailand oleh pemain tengah C Songkransin pada minit ke-7.

Brendan menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-26 dan kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Di babak kedua, anak buah Tan Cheng Hoe menghadiahkan mimpi ngeri buat Thailand apabila Sumareh menambah jaringan pada minit ke-57.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sehingga tamat perlawanan di depan lebih 30,000 penyokong Harimau Malaya.

Keputusan malam ini menyaksikan kekalahan pertama Gajah Putih selepas empat perlawanan.

Aksi berdepan Thailand ini adalah perlawanan keempat Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan G.

Harimau Malaya sebelum ini berjaya menundukkan Indonesia 3-2 di Jakarta pada September lalu, tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di gelanggang sendiri, dan tumbang 1-0 di tangan Vietnam.

Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Nov ini.