Faisal Halim Boleh Kembali Jalani Latihan – FAM

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim dibenar untuk kembali menjalani sesi latihan bersama kelabnya meskipun berdepan hukuman penggantungan sejak 25 Julai lepas.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk itu melakukan mesyuarat baru-baru ini.

“Kes membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan.

“Bagaimanapun, jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta.

“Ia bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak,” kata kenyataan tersebut.

Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM telah dipengerusikan oleh CP (Bersara) Dato’ Sri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff selaku pengerusi dan telah membincangkan sebanyak empat kes.

Sebelum ini, FAM telah mengesahkan penggantungan selama sebulan buat Faisal yang lebih mesra dengan nama Mickey susulan kenyataan ketika aksi bertemu Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 27 April lalu.

Malah, pemain berusia 25 tahun itu berpotensi untuk digantung tiga bulan lagi bergantung dengan kelakuannya sepanjang tempoh setahun hingga Julai tahun depan.

Sumber : Kosmo