Penagih Pegang Kad UNHCR Dicekup Polis Kerana Cabul Warga Emas

Foto : Kosmo

AMPANG – Seorang lelaki pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang juga penagih dadah dicekup selepas perbuatan jijiknya mencabul wanita warga emas di Jalan Bunga Tanjung, di sini, pada Rabu.

Perbuatan lelaki tersebut berjaya dirakam oleh orang awam dan rakaman video insiden yang berdurasi 26 saat tular sejak semalam di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga suri rumah berusia 71 tahun pada hari sama.

“Kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengumpul kotak terpakai untuk dijual sekitar pukul 3.30 petang. Suspek secara tiba-tiba datang meraba paha mangsa.

“Mangsa menegur perbuatan lelaki itu namun suspek masih melakukannya dan membuka seluar serta baju lalu memegang kemaluan sebelum menunjukkannya di hadapan mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Azam, suspek ditahan orang awam yang berada di lokasi kejadian selepas mangsa menjerit meminta tolong.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Pandan Indah membuat tangkapan semula terhadap lelaki pemegang kad UNHCR berusia 23 tahun berkenaan.

“Suspek yang bekerja tukang sapu itu didapati positif dadah jenis ketamin,” ujarnya.

Jelasnya lagi, permohonan reman pertama terhadap suspek dibenarkan selama empat hari bermula Selasa hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. 

Sumber : Kosmo