Eyka Farhana-Akhyar Rashid disindir netizen – “Diorang berdua tu satu famili ke? Bila masa diorang kahwin?”

SATU Malaysia sudah tahu bahawa Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat musim ketujuh berturut-turut selepas membedil Sabah 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam tadi.

Bagaimanapun, timbul dakwaan JDT telah membenarkan penyokongnya memasuki stadium bagi meraikan kejayaan berprestij itu, namun ia segera dinafikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sebaliknya, Harimau Selatan telah diberi kebenaran untuk membawa masuk ahli keluarga pemain dalam skala kecil di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri selepas membuat permohonan rasmi daripada MFL.

Tangkap layar Instastory yang dimuat naik Eyka Farhana yang menayangkan suasana di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, JDT telah dimaklumkan mereka boleh membawa masuk ahli keluarga pemain tidak melebihi 100 orang.

“Oleh kerana perlawanan ini menentukan juara Liga Super dan akan diadakan penyerahan piala , pihak JDT ada membuat permohonan rasmi dengan MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain untuk memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan penjarakan fizikal dalam stadium,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

JDT mengesahkan status selaku juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Dalam perkembangan sama, Ghani memberitahu kelulusan khas itu diberikan selepas melihat segala aspek pematuhan SOP khusus untuk kumpulan ahli keluarga pemain JDT ini telah dipatuhi sepenuhnya.

“Saya menyangkal di mana terdapat satu gambar tular yang menunjukkan peminat masuk ke stadium beramai-ramai dan itu adalah perkara tidak benar.

“Ini kerana tidak ada mana-mana peminat masuk dan hanya ahli keluarga pemain JDT berskala kecil sahaja berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya.

Kedua-dua figura ini hangat dikatakan bercinta, namun tidak pernah membuat pengumuman rasmi berhubung perkara itu.

Kenyataan Ghani bagaimanapun dipertikaikan netizen gara-gara status Instastory yang dimuat naik artis, Eyka Farhana yang dikatakan turut berada di stadium berkenaan malam tadi.

Umum mengetahui hubungan baik antara Eyka Farhana dan pemain JDT, Akhyar Rashid yang sebelum ini dikatakan hangat bercinta, namun kedua-duanya tidak pernah membuat kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Netizen mempertikaikan kehadiran Eyka Farhana di stadium malam tadi sedangkan MFL menjelaskan ia hanya untuk ahli keluarga terdekat pemain JDT.

“Diorang tu satu famili ke?” tulis seorang netizen.

“Bila masa pulak Mat Yat (nama panggilan Akhyar) dah kahwin dengan Eyka Farhana? Kata ahli keluarga je boleh masuk stadium?” soal seorang lagi netizen.

Bagaimanapun, seorang lagi netizen mempertahankan Eyka Farhana, sambil menegaskan mungkin video itu sekadar dikongsikan artis berkenaan yang teruja dengan kejayaan Akhyar bersama JDT, bukannya dia berada di stadium tatkala negara masih dilanda pandemik Covid-19. – The News Malaysia