Disangka lelaki, wanita ‘sado’ dimalukan dan dihalang menaiki pesawat

SEORANG atlet angkat besi wanita dari Rusia berdepan pengalaman memalukan ketika ingin menaiki pesawat gara-gara disangka lelaki.

Anna Turaeva, 42, menjuarai enam kali kejohanan angkat berat dunia dan lapan kali di Eropah telah dihalang daripada menaiki pesawat dari St Petersburg ke Krasnodar baru-baru ini.

Penampilannya sememangnya maskulin semula jadi selepas menjalani latihan bina badan dan angkat berat bertahun-tahun, namun dia masih menganggap dirinya wanita.

Turaeva (kiri) berdepan pengalaman memalukan ketika ingin menaiki pesawat baru-baru ini kerana disangkakan lelaki.

Turaeva berkata, kakitangan keselamatan di lapangan terbang pada waktu itu mengesyaki dia sebenarnya lelaki berpenampilan sebagai wanita.

Dakwanya, pihak berkenaan menyoal siasatnya termasuk bertanyakan soalan berbentuk peribadi dan keterlaluan untuk mengesahkan jantinanya.

Katanya, dia cuba menjelaskan kepada wakil syarikat penerbangan bahawa mereka tersilap dan meminta supaya merujuk butiran di dalam pasport.

Tuareva (kanan) merupakan juara angkat berat dunia sebanyak enam kali.

“Mereka tidak mahu melepaskan saya di pusat pemeriksaan sedangkan semuanya tertulis dalam pasport bahawa saya memang wanita.

“Pengalaman ini sangat memalukan, saya ditegur macam kanak-kanak dan disoal siasat dengan soalan terlalu peribadi di depan ramai orang yang berbaris untuk menaiki pesawat sama.

“Selepas beberapa kali cubaan menjelaskan saya wanita, akhirnya saya dibenarkan menaiki pesawat,” katanya dalam catatan di media sosial seperti dipetik portal Oddity Central.

Trueva (kanan) tetap menganggap dirinya wanita meskipun berbadan ‘sado’ dan sering tampil dengan imej lelaki.

Syarikat penerbangan Utair juga mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Turaeva atas layanan tidak sepatutnya dan kesilapan itu sudah diperbetulkan.

Penampilan maskulin Turaeva sudah lama menarik perhatian ramai, terutama ketika gambarnya mengenakan pakaian lelaki tersebar di Internet.

Turaeva dilahirkan normal, tetapi kerap jatuh sakit dan menghabiskan usianya bermula enam hingga 15 tahun di pelbagai hospital.

Pengalaman sukar inilah yang membentuk penampilan dirinya supaya lebih kental dan bercita-cita tinggi. – Agensi

Sumber: Harian Metro