EFL Carabao Cup: City, United ke suku akhir

MANCHESTER City dan Manchester United tidak menghadapi masalah menempah slot suku akhir Piala Liga (EFL Carabao Cup) apabila menewaskan lawan masing-masing awal pagi tadi.

Ferran Torres menjaringkan gol pertamanya bersama City ketika juara bertahan Piala Liga itu menewaskan Burnley 3-0 manakala United turut mara selepas mengatasi Brighton 3-0.

Kemenangan itu dilihat menyuntik moral skuad bimbingan Pep Guardiola yang sebelum ini mengalami kekalahan terbesar dalam aksi Liga Perdana England di tempat sendiri apabila dimalukan Leicester City 2-5, Ahad lalu.

Awal pagi tadi, dua jaringan Raheem Sterling di Turf Moor memastikan kebangkitan dan penyerang Sepanyol, Torres yang dibeli daripada Valencia meledak gol ketiga.

“Ramai yang tak percayo, tapi memang cokup ponting jangan lopehkan gol sesonang itu yo.

“Team memang main best, tapi den raso kami masih belum boto-boto baguih. 

“Bukan apo, kami tak dapek nak practise boto-boto. Ramai player yang tak dapek nak main, onam sobab covid-19, ompek player pulak injured,” kata Guardiola.

Guardiola (kanan) gembira dengan prestasi anak-anak buahnya menempah slot suku akhir Piala Liga awal pagi tadi.

Untuk rekod, City menjulang Piala Liga empat kali dalam lima musim terakhir dan kini berpeluang mengekalkan trofi itu.

Dalam pada itu, di Stadium Amex, Manchester United menambah duka Brighton empat hari selepas menewaskan mereka 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana England minggu lepas.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer memerlukan jaringan penalti Bruno Fernandes pada minit ke-100 untuk mengatasi Albion ketika itu tetapi tiada drama kali ini.

Awal pagi tadi, United yang kali terakhir menang Piala Liga pada 2017 mendahului di minit ke-44 apabila Scott McTominay menanduk masuk sepakan percuma Juan Mata.

Sterling (kiri) dan Torres masing-masing meletakkan nama selaku penjaring.

United menggandakan kelebihan pada minit ke-73 menerusi Mata selepas mendapat hantaran Donny Van De Beek untuk jaringan ke-50nya bersama kelab.

Paul Pogba yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol ketiga hasil sepakan percuma yang terlebih dahulu terkena pemain Brighton, Joel Veltman.

Dalam perlawanan lain, Dominic Calvert-Lewin mencipta hatrik ketika Everton membelasah West Ham 4-1 tetapi kemenangan itu dibayangi kecederaan dua bintang Brazil, Richarlison dan Allan.

Calvert-Lewin meletakkan Everton di depan pada minit ke-11 di Goodison Park untuk jaringan keenamnya musim ini.

United turut mara ke suku akhir Piala Liga apabila menewaskan Brighton 3-0.

Skuad Carlo Ancelotti yang menang enam kali berturut-turut dalam semua kejohanan musim ini dikejutkan dengan gol penyamaan oleh Robert Snodgrass pada minit ke-49.

Tetapi Richarlison kembali meletakkan Everton di depan 10 minit selepas itu sebelum Calvert-Lewin meledak hatrik keduanya musim ini menerusi jaringan pada minit ke-78 dan 84.

Newcastle United pula cemas sebelum mara ke peringkat lapan terakhir apabila menewaskan kelab liga bawahan, Newport County menerusi penalti 5-4 selepas seri 1-1 dalam aksi sebenar.

Tottenham pula menewaskan Chelsea 5-4 juga menerusi penalti selepas seri 1-1 semalam.

Dua lagi pasukan pilihan, Liverpool dan Arsenal turut mengintai peluang ke suku akhir apabila bakal berentap sesama sendiri awal pagi esok. – AFP

Berikut merupakan keputusan penuh pusingan kalah mati Piala Liga EFL (Carabao Cup)

SPURS 1 CHELSEA 1

*Spurs menang penalti 5-4

NEWPORT 1 NEWCASTLE 1

*Newcastle menang penalti 5-4

BURNLEY 0 MAN. CITY 3

BRIGHTON 0 MAN. UTD 3

EVERTON 4 WEST HAM 1

Sumber: Metro