Siti Sarah, Shuib dipanggil ke SPRM bantu siasatan

PASANGAN selebriti terkenal Shuib dan Siti Sarah dilaporkan telah dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) apabila disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.

Mereka dikatakan hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada tengah hari Khamis untuk diambil keterangan membabitkan kes tersebut.

Menerusi laporan mstar, pasangan itu difahamkan masih berada di pejabat SPRM Putrajaya setakat pukul 8.49 malam.

Namun siasatan masih lagi dijalankan dan belum dapat dipastikan penglibatan pasangan ini dalam kes tersebut.

Beberapa individu termasuk selebriti lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut juga dikatakan akan dipanggil memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki juga mengesahkan terdapat pasangan selebriti dipanggil pihaknya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Syarikat pengurusan Siti Sarah iaitu Indigital juga dikatakan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

Laporan lanjut menyusul.

Sumber: mstar