Bola Sepak : Saya Tidak Sesali Kegagalan Ini — Kim Swee

Datuk Ong Kim Swee tidak menyesal walaupun penampilan terakhirnya dalam Sukan SEA bersama skuad B-22 negara berakhir dengan memori pahit di samping berpandangan pasukan seperti Filipina dan Kemboja bukan lagi budak belasahan Asia Tenggara.

Kim Swee akan sentiasa dikenang atas pelbagai kejayaan di pentas Sukan SEA, termasuk memimpin skuad yang memenangi pingat emas di Indonesia pada 2011.

Selepas membawa skuad negara kembali ke pentas final di Kuala Lumpur dua tahun lalu, keajaiban Kim Swee sekali lagi ditagih untuk edisi Filipina 2019.

Tetapi penyingkiran di peringkat kumpulan bermakna jodoh Kim Swee bersama skuad B-22 Negara sudah sampai ke penghujungnya.

Tiada sesalan. Setiap jurulatih yang terlibat dalam bola sepak memerlukan keputusan dan usaha kami ditentukan menerusi pencapaian yang diraih.”

Walaupun saya pemenang Piala Dunia sekalipun dan tewas kepada Kemboja semalam, perkara yang sama tetap akan berlaku. Saya berterima kasih kepada FAM kerana memberikan kepercayaan kepada saya membimbing skuad ini,” kata Kim Swee.

Pengendali berusia 48 tahun itu berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memperkasakan program untuk skuad muda negara.

Filipina dan Kemboja yang menumpukan fokus kepada program akar umbi makin menikmati hasil seperti yang dibuktikan dalam Sukan SEA kali ini.

Apabila kami menjuarai atau mendapatkan keputusan yang positif dalam mana-mana kejohanan, kami tidak boleh leka dan terus memperkembangkan lagi mutu permainan. Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, Kemboja dan Filipina bukan lagi pasukan belasahan seperti edisi beberapa tahun yang lalu.