Barca pecat Valverde, Setien ambil alih

MADRID: Juara Sepanyol Barcelona memecat pengendalinya Ernesto Valverde dan melantik Quique Setien sebagai pengganti, umum kelab itu.

Keputusan untuk melepaskan Valverde disahkan selepas mesyuarat lembaga pengarah yang berlangsung lebih empat jam di Camp Nou.

Barca masih mendahului La Liga tetapi hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir mereka. Valverde adalah pengendali pertama dipecat kelab itu di pertengahan musim sejak Louis van Gaal pada tahun 2003.

“FC Barcelona dan Ernesto Valverde bersetuju menamatkan kontrak yang mengikat kedua-dua pihak,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Barcelona dan Quique Setien mencapai persetujuan untuk menjadi pengendali pasukan utama sehingga 30 Jun 2022.

“Setien adalah salah seorang jurulatih paling berpengalaman dalam bola sepak Sepanyol. Sepanjang kariernya dia dikenali dengan corak permainan menyerang yang menarik minat penyokong.”

Perlawanan pertama Barca di bawah Setien adalah menentang Granada di laman sendiri Ahad ini. Barcelona akan bertemu Napoli dalam kelompok 16 Liga Juara-Juara bulan depan dan Real Madrid dalam saingan liga pada awal Mac. – AFP

Sumber – BH