Amat dasyat! Leeds lunyai di Anfield, kena belasah 6-0

MOHAMED Salah dan Sadio Mane masing-masing menyumbang dua gol dalam perlawanan menentang Leeds United di Anfield pagi tadi menjadikan Liverpool menang denga bergaya 6-0.

Keputusan itu sekaligus mengurangkan jurang dengan Manchester City di persada Liga Perdana, lapor Berita Harian.

Salah menambah jaringannya musim ini kepada 27 gol dalam 31 penampilan dan membantu untuk gol Joel Matip ketika Reds mencatat kemenangan kesembilan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Mane menambah derita Leeds menerusi dua gol pada 10 minit terakhir sebelum tandukan Virgil van Dijk melengkapkan kemenangan pasukan itu.

Tumpuan skuad Jurgen Klopp kini terarah kepada aksi final Piala Liga berdepan Chelsea Ahad ini dan mereka masih berpeluang memburu gelaran Liga Perdana buat kali kedua dalam tiga tahun dan akan bertemu City pada April.

“Saya rasa bagi mereka di luar, adalah lebih baik untuk memiliki jurang tiga atau enam mata berbanding 20 atau 30, jadi ia menarik,” kata Klopp.

“Tapi kami perlu menang lebih banyak perlawanan berdepan semua lawan sukar dan itu cabaran penuh muslihat. Kami akan cuba.”

Di kedudukan antara terbawah liga, Leeds menyedari kemenangan 1-0 Burnley mengatasi Tottenham mengurangkan jurang antara kedua-dua pasukan itu di zon penyingkiran kepada tiga mata.

“Kami bertarung mengelak penyingkiran,” kata bos Leeds, Marcelo Bielsa. “Sudah tentu ia membimbangkan saya.”

Sumber: Berita Harian