Suami Jumpa Mayat Isteri Dengan Kesan Tetakan

Luluh hati seorang suami apabila menemui jasad isterinya yang sudah tidak bernyawa dengan kesan tetakan pada anggota badan di ladang kelapa sawit, Kampung Ulu Bambangan, Membakut, pada Isnin.

Mangsa yang merupakan warga Filipina didapati hilang ketika keluar bekerja di ladang sawit tersebut.

“Mayat mangsa ditemui oleh suaminya sendiri selepas seluar hitam milik mangsa ditemui di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

Mayat wanita berusia lingkuan 30-an itu ditemui suaminya kira-kira jam 11.30 pagi dalam keadaan tangan kanan hampir putus, kesan kelar pada leher dan luka di bahagian dahi kanan.

“Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya berjaya menemui mayat mangsa di belukar berhampiran dengan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” menurut Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah

Beliau berkata, susulan kejadian itu pemeriksaan dan siasatan segera dilakukan oleh Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah terhadap mayat di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus, terdapat kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.

Berikutan kejadian itu, tangkapan berjaya dibuat terhadap tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina bagi membantu siasatan.

“Empat suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik JSJ IPK Sabah,” katanya.

Sumber : Awani