Suami isteri bakar arang dalam bilik sebelum meninggal dunia

MAYAT sepasang suami isteri ditemui di sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bangsar hari ini.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 46 dan 38 tahun dimana isterinya merupakan warga Thailand.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tidur.

“Hasil siasatan mendapati pasangan ini telah membakar arang dalam bilik sebelum menutup pintu dan tingkap untuk tidur.

“Menurut pihak hospital, kedua-dua mangsa meninggal dunia sekitar jam 6 atau 7 pagi akibat sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anuar turut memaklumkan, mangsa turut meninggalkan satu nota yang ditulis buat keluarga mangsa.

Menurut salah seorang saksi yang juga kenalan rapat, pasangan ini tidak pernah mendedahkan sebarang masalah mahupun mempunyai sebarang musuh.

Polis bagaimanapun percaya kes berkenaan tiada melibatkan sebarang unsur jenayah.

Kedua-dua mayat tersebut dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan.