Sewa Rahmah bakal diperkenalkan, inisiatif KPDN bantu peniaga semasa bulan Ramadan

KADAR sewa ruang niaga berkonsep ‘Rahmah’ untuk setiap tapak di bazar Ramadan akan diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Inisiatif sepanjang bulan puasa yang akan bermula hujung bulan depan tersebut adalah untuk menangani kos sara hidup yang sedang diterajui KPDN.

“Pihak kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penggiat industri bagi merancang penganjuran Bazar Ramadan Rahmah berkenaan,” jelas Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada Berita Harian.

“Beberapa lokasi strategik sudah pun dikenal pasti untuk kadar sewa Rahmah diperkenalkan semasa bulan puasa dan perkembangan pelaksanaan inisiatif tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat,”, ujar beliau lagi.

Inisiatif berkonsepkan sewa harga mampu ini memberi fokus kepada Bazar Ramadan yang akan dianjurkan dan perbincangan bakal diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri yang berminat menyertainya.

Inisiatif lain yang berkaitan seperti Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah, juga telah diperkenalkan sebagai inisiatif untuk menambah baik kos sara hidup rakyat.

Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Berita Harian