Kerajaan mungkin laksanakan cukai ke atas produk vape untuk tambah pendapatan negara

TIMBALAN Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong menyatakan bahawa pencukaian ke atas produk vape hanya boleh dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) selesai meneliti isu perundangan berkaitan produk tersebut.

“Pengumuman mungkin akan dibuat dalam bajet belanjawan 2023 setelah KKM selesai membuat penelitian,” jelas beliau di dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

“Dan jika perundangan tersebut diluluskan, saya ingin menjemput sokongan pihak pembangkang dalam pelaksanaan pencukaian produk berkenaan, “ kata Sim lagi ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada kerajaan ada cadangan untuk mengenakan cukai ke atas produk vape bagi menambah sumber pendapatan negara.

Manakala apabila menjawab satu lagi pertanyaan dari Wan Saifulruddin mengenai anggaran kerugian hasil cukai akibat penyeludupan produk tembakau dan produk beralkohol, Sim menyatakan bahawa anggaran kerugian adalah sebanyak RM353 juta pada tahun 2021 dan RM364 juta pada tahun 2022, berdasarkan pengiraan rampasan.

Beliau juga berkata kerajaan amat komited dalam mempertingkatkan lagi usaha membanteras dan menumpaskan sindiket-sindiket jenayah penyeludupan bahan bahan tersebut.

Langkah langkah seperti memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan, mengehadkan aktiviti pemindahan kapal kepada pelabuhan tertentu sahaja, membenarkan penggunaan kontena yang berstandard ISO sahaja dan melarang penggunaan bot-bot kecil termasuk bot jenis kumpit akan dilaksanakan bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Sumber gambar – Freepik | Sumber laporan – Berita Harian