seramai 164,692 disaring di Pintu masuk Antarabangsa

Gambar BH

SEPANG: Seramai 164,692 pengembara yang tiba di negara ini di semua pintu masuk antarabangsa sudah disaring Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jumlah pelawat yang disaring bagi Novel Coronavirus (2019-nCoV) itu adalah bagi tempoh 1 Januari hingga 3 petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata daripada jumlah itu, seramai sembilan pengembara sudah dirujuk untuk pemeriksaan lebih lanjut.

“Namun, semua pengembara itu didapati tidak memenuhi kriteria pesakit dalam siasatan (PUI) 2019-nCoV sebagaimana yang ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus 2019-nCoV No 02/2020.

“Pengembara terbabit dibekalkan dengan kad amaran kesihatan. Sekiranya gejala dialami semakin serius, pengembara berkenaan perlulah mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan di kaunter menempatkan mesin pengimbas terma suhu badan dikendalikan pegawai kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini, hari ini.

 

gambar – BH

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Kawalan Penyakit KKM, Dr Norhayati Rusli dan Pegawai Kesihatan KLIA & klia2, Dr Harishah Talib.

Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly berkata pihaknya sudah meminta disegerakan penambahan 12 lagi mesin pengimbas terma suhu badan.

“Ketika ini KKM memiliki 54 mesin pengimbas terma suhu badan di seluruh negara.

“Perolehan untuk menambah mesin itu sudah pun dibuat, sepatutnya tidak perlu ditangguhkan,” katanya.

Sumber – BH