Pelancong China dari Wuhan disekat masuk ke Malaysia buat sementara

Kerajaan hari ini menggantung sementara kemasukan rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta bandar sekitarnya ke negara ini untuk tempoh sementara dalam mengelakkan penyebaran coronavirus.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan petang ini memaklumkan, penggantungan itu turut membabitkan semua kemudahan Imigresen kepada warga China dari bandar terbabit, meliputi kemudahan tanpa visa, visa semasa ketibaan (VOA), e-visa dan visa manual.

“Berikutan dengan maklumat terkini, kerajaan mengambil keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), visa semasa ketibaan, e-visa dan visa manual kepada rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya.

“Keputusan dibuat selepas mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di wilayah Hubei dan ia adalah berkuatkuasa serta merta,” kata kenyataan itu.

Ini bermakna semua warga China dari daerah berkenaan perlu mendapatkan visa untuk memasuki negara ini.

“Kerajaan sudah mengikut prosedur ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.

“Pemantauan sudah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkaitan coronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Arahan sementara ini juga sekaligus mengubah keputusan kerajaan yang sebelum ini membenarkan warganegara China dari daerah berkenaan dibenarkan masuk tanpa visa selama 15 hari.

Warta kerajaan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, bertarikh 23 Disember, tahun lalu memaklumkan, selaras Akta Passport 1966, membenarkan pelawat dari China memasuki Malaysia untuk melancong atau lawatan sosial bagi tempoh 15 hari, menerusi pelaksanaan eNTRY, iaitu kemudahan tanpa visa.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak kerajaan China.

Berita Harian