Selepas Beras, Stok Gula Pula Akan Dihadkan Kadar Pembelian

Foto: Astro Awani

Kuala Lumpur: Belum pun reda isu kekurangan bekalan minyak masak peket dan beras tempatan di pasaran, rakyat negara ini dijangka berdepan kekurangan gula pula.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, harga pasaran antarabangsa bagi barangan asas itu sudah mula naik.

“Selepas kekurangan beras tempatan, krisis yang akan datang adalah gula. Sebab gula juga ada harga kawalan iaitu 1 kilogram (kg) RM2.85. Tapi, harga gula antarabangsa sekarang dah naik antara RM3.60 hingga RM3.80 untuk 1 kg (bagi beg 50 kg). Logiknya, kalau harga beza, akan berlaku ketirisan.

“Sekarang pun sudah ada pasar raya yang meletakkan had pembelian lima peket saja. Maknanya, apabila sudah ada had, ada masalah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia menyeru kerajaan dan kementerian berkaitan untuk mengambil tindakan segera sebelum masalah berlarutan.

“Kerajaan perlu buat sesuatu yang terbaik secepat mungkin. Apa guna jual murah kalau ada ketirisan,” katanya.

Sumber: Harian Metro