Suara Berubah Menjadi Serak, Siti Hanya Menyanyi Ikut Kemampuan

Foto: Bonde Zaidalifah

KUALA LUMPUR – “Sampai satu tahap saya dah reda jika Allah SWT nak ‘tarik’ sedikit bakat (suara) saya gara-gara mengalami masalah peti suara berpanjangan.”

Demikian kata penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila memberitahu berdepan dengan masalah peti suara semasa proses merakamkan album solonya yang ke-20 iaitu Sitism.

Penyanyi berusia 44 tahun itu ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia berdepan dengan masalah tekak apabila suaranya berubah menjadi serak dan kasar ketika menjalani proses rakaman album Sitism bermula pada Ramadan lalu dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Memang lama sangat nak pulih (suara) sehingga saya mengalami masalah sewaktu merakamkan album. Sampai satu tahap, saya sudah reda jika Allah nak tarik sikit ‘kelebihan’ saya.

“Pada usia saya sekarang yang sudah menjangkau 40-an, suara saya nak kasar ke, serak ke, saya okey sahaja. Saya akan menyanyi ikut kemampuan dan sentiasa berfikiran positif,” ujarnya.

Gara-gara masalah peti suara yang dialaminya, Siti yang ditemui pada majlis pelancaran album Sitism di The Face, Kuala Lumpur hari ini, terpaksa mengambil masa selama kira-kira tiga bulan untuk menyelesaikan proses rakaman lagu untuk album terbaharunya.

Bahkan, ibu kepada dua orang cahaya mata itu juga sempat memohon doa di hadapan kaabah sewaktu menunaikan umrah ketika Ramadan lalu agar diberikan kesembuhan segera.

“Sebagai penyanyi, suara adalah ‘aset’ kita. Risau juga sebab banyak komitmen kerja termasuk Kak Rozie (pengurus). Saya pun sudah berjumpa pakar dan doktor berkali-kali.

“Sehinggakan saya ambil kesempatan berdoa di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu supaya diberikan kesembuhan segera. Nak sihat sepenuhnya memang ambil masa yang lama juga.

“Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih dan saya bersyukur. Namun saya kena sentiasa beringat supaya menjaga kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, Siti enggan terlalu pusing dengan kata-kata netizen apabila ada yang membandingkan suaranya sudah tidak lagi selunak dahulu.

Siti sentiasa positif dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

“Memang ada peminat bercakap tentang perubahan suara saya. Tapi saya sentiasa positif. Apa yang Allah nak beri, dia akan beri. Kalau Allah nak tarik (nikmat), dia akan tarik.

“Apa-apa pun, saya sentiasa bersyukur dan positif sahaja dengan kemampuan diri. Album ini (Sitism) pun saya hasilkan dengan semampunya,” ujar Siti.

Sumber: Kosmo