“Hati-Hati Dengan Rawatan Kiropraktik Tidak Bertauliah” – Dr. Amir

Foto: Beranisehat

PETALING JAYA – Terdapat kiropraktor di negara ini membuat ‘dakwaan berlebihan’ bahawa kiropraktik yang dilakukan mereka mampu memulihkan pesakit sehingga tersasar daripada indikasi rawatan itu sendiri.

Ketua Jabatan Ortopedik & Traumatologi Hospital Sungai Buloh, Dr. Amir Fariz Zakaria berkata, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dengan rawatan kiropraktik daripada pihak tidak bertauliah yang menjanjikan boleh merawat masalah seperti kepatahan ataupun terkehel secara berlebih-lebihan.

“Kiropraktik ini boleh dibuat oleh pengamalnya yang mana mereka sepatutnya ada ijazah atau kelulusan untuk melakukan rawatan itu. Malah, di Malaysia juga ada Persatuan Kiropraktik.

“Kiropraktik ini mempunyai indikasinya sebelum seseorang pesakit itu boleh menjalani rawatan. Bagi yang mendakwa boleh memulihkan pesakit yang lumpuh, pesakit skoliosis tulang daripada bengkok boleh menjadi lurus, itu adalah ‘over claimed’ dan tersasar daripada indikasi kiropraktik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jelasnya, bukan semua jenis kesakitan boleh mendapatkan rawatan kiropraktik.

“Apa yang membimbangkan, ramai pengamal kiropraktik tidak bertauliah yang mendakwa boleh merawat semua jenis penyakit.

“Malah, saya juga ada penga­laman menerima pesakit yang menjalani kiropraktik tetapi keadaan mereka bertambah buruk selepas rawatan itu,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pe­ngalaman di mana salah seorang pesakitnya meninggal dunia tidak lama selepas mendapatkan rawatan kiropraktik.

“Pesakit itu pergi mendapatkan rawatan kiropraktik apabila mengalami sakit tengkuk selepas bermain bola sepak, difahamkan kiropraktor tersebut menarik lehernya sehingga terkehel hingga menyebabkannya lumpuh dan akhirnya meninggal dunia.

“Sepatutnya, kiropraktik perlu tahu kes apa yang boleh menerima rawatan dan apa yang boleh menyebabkan komplikasi,” katanya.

Pesakit yang mahu melakukan sebarang rawatan seperti fisio­terapi ataupun kiropraktik dinasihatkan pergi ke hospital terlebih dahulu bagi mendapatkan nasihat daripada doktor.

Perlu diingatkan juga katanya, tidak dapat dipastikan adakah semua kiropraktik mempunyai kebertanggungjawapan terhadap kecederaan kepada pesakit yang menerima rawatan mereka.

“Perkara ini berbeza apabila pesakit pergi ke hospital. Sebagai contoh, setiap pesakit yang hendak dibedah akan diberikan surat kebenaran selain pihak hospital turut mengambil tanggungjawab terhadap pesakit,” katanya.

Sumber: Kosmo