Selangor tangguh solat di masjid, Surau

Sumber Gambar : OhMyMedia

SOLAT jemaah termasuk solat Jumaat di seluruh masjid dan surau di Selangor akan ditangguhkan berkuat kuasa hari ini sehingga 17 April depan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, penangguhan itu turut membabitkan semua aktiviti ceramah dan kuliah agama.

“Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) menzahirkan kebimbangan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk Selangor susulan ancaman wabak Covid-19.

View this post on Instagram

17 Mac 2020 ~ KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR . Satu Mesyuarat Khas telah diadakan atas titah D.Y.M.M. Sultan Selangor bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa Task Force Menangani Covid-19 Negeri Selangor bagi mendapatkan pandangan berkaitan dengan ancaman wabak tersebut di Negeri Selangor. Berikutan dengan itu saya telah dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor untuk mengeluarkan Kenyataan Rasmi seperti berikut: D.Y.M.M. Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap kesejahteraan 6.5 juta penduduk Negeri Selangor susulan ancaman wabak Covid-19 di seluruh dunia. Justeru itu, bagi mengurangkan impak dan penularan wabak berkenaan, Baginda mahu langkah-langkah berikut diambil dan berkuatkuasa pada 17 Mac 2020: 1. Solat Jumaat di Negeri Selangor adalah ditangguhkan sehingga 17 April 2020. Walau bagaimanapun Solat Jumaat ini wajib digantikan dengan Solat Zohor di rumah masing-masing. 2. Manakala solat secara berjemaah, aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah agama di semua Masjid, Surau dan Musolla di Negeri Selangor juga hendaklah ditangguhkan sehingga 17 April 2020. Namun demikian, jika sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan. 3. Laungan azan hendaklah terus dilaksanakan seperti kelazimannya bagi menandakan masuk waktu solat. 4. Bagi memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala agar penularan wabak Covid-19 ini segera berakhir, maka Qunut Nazilah digalakkan untuk dibaca oleh semua rakyat Negeri Selangor. Ketetapan ini juga selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Negara yang diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia pada 16 Mac 2020. D.Y.M.M. Sultan Selangor turut menasihatkan rakyat Negeri Selangor agar tidak hadir dan berkumpul di tempat-tempat awam khususnya jika mereka mempunyai simptom-simptom penyakit Covid-19. Ini bagi mengelakkan penularan virus berbahaya ini kepada lebih ramai rakyat di Negeri ini. . ➡️➡️sambung di ruangan komen…

A post shared by SelangorRoyalOfficial (@selangorroyalofficial) on

“Justeru, baginda bertitah selain solat Jumaat, aktiviti lain khususnya solat berjemaah, ceramah dan kuliah agama (di masjid dan surau) ditangguhkan sehingga 17 April 2020.

“Bagaimanapun, laungan azan hendaklah diteruskan seperti kelaziman bagi menandakan masuk waktu solat,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, sekiranya wabak Covid-19 dapat diatasi dan dibendung dalam tempoh lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

Katanya, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah menggalakkan Qunut Nazilah dibaca semua rakyat bagi memohon perlindungan Allah SWT supaya wabak Covid-19 berakhir dengan segera.

“Baginda juga menasihatkan rakyat Selangor supaya tidak hadir dan berkumpul di tempat awam khususnya mereka yang mempunyai masalah atau simptom penyakit Covid-19 bagi mengelak penularan virus berbahaya itu.

“Rakyat juga diminta mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuat kuasakan Kerajaan Persekutuan demi mencegah penularan baru dan memulihkan keadaan dengan segera,” katanya.

Sumber Instagram : selangorroyalofficial