Rombakan kabinet: Jo Ghani dan Dr Dzul kembali ke kabinet?

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Desas-desus mengenai rombakan kabinet semakin kuat diperkatakan selepas Perdana Menteri memaklumkan akan mengubah barisan jemaah menterinya sebelum hujung tahun ini.

Satu sumber memaklumkan kepada TheNews.com.my, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani akan dilantik sebagai menteri dalam rombakan kabinet yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Seorang lagi ahli parlimen yang akan diserap sebagai anggota kabinet adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan pada penggal lepas, Dr Dzulkefly dilantik sebagai menteri kesihatan sebelum hilang jawatan disebabkan kerajaan PH dijatuhkan menerusi langkah Sheraton.

Manakala, Johari pula pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan ke-2, ketika era pentabiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, difahamkan Kementerian Wilayah akan diwujudkan semula selepas ia hanya berstatus jabatan dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Anwar membayangkan bahawa rombakan kabinet akan berlaku dalam bulan ini.

Ketika diajukan soalan berkaitan rombakan kabinet selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 18, di sini, Anwar telah memanggil seorang kanak-kanak, Akmal Afif Yaseer Arafat, 12, dan memintanya untuk mengulangi soalan berkenaan sebagai mewakili pemberita.

“Datuk Seri, bila rombakan kabinet,” tanya kanak-kanak tersebut.

“Akmal cadang bila, sebelum atau selepas 2024,” tanya Anwar kepada kanak-kanak berkenaan dan Akmal Hafiz menjawab: “Sebelum 2024”.

“Dia jawab sebelum 2024. Saya setuju,” kata Anwar.