Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS

Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun keyakinan terhadap kemajuan perbincangan perdagangan AS-China, memandangkan pelabur masih resah dengan aliran keluar dana asing yang berterusan di Bursa Malaysia.

Kemudian, Pada sembilan pagi, ringgit disebut pada harga 4.1770/1820 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 semalam.

Penyelidik di MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata, pelabur asing melupuskan ekuiti tempatan sebanyak RM187.2 juta minggu lalu berbanding RM408.5 juta yang dijual pada minggu sebelumnya.

Aliran keluar dana asing tahun ini setakat Jumaat lalu berjumlah RM9.17 bilion, mewakili 78.4 peratus daripada aliran keluar asing tahun lalu sebanyak RM11.69 bilion, kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Sementara itu, Ketua Strategik Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, berkata kekurangan pasaran kontrak hadapan tidak diserah (NDF) menjadikannya mencabar bagi pelabur asing melindung nilai pendedahan mata wang akhir tahun, menyebabkan mereka berasa lebih selesa membeli aset serantau lain yang mana risiko mata wang akhir tahun lebih mudah diakses untuk diurus.

“Selain daripada langkah-langkah yang tidak menentu ke atas ringgit, ia sangat menyedihkan bagi pelabur tempatan bahawa penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak dapat mengembalikan paras 1,600, ketika mana risiko kelihatan sangat baik untuk memulakan minggu ini,” katanya dalam satu nota hari ini.

Pada pembukaan, FBM KLCI susut 1.71 mata pada 1,589.64 daripada 1,591.35 penutup Isnin.

Menyentuh ehwal politik, Innes berkata penggantian kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal antara isu paling penting bagi pelabur.

“Ketidakpastian politik menjelang akhir tahun membuat pelabur gugup sementara membuat pertaruhan serantau yang kurang berisiko,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang utama lain, kecuali pound.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0592/0640 daripada 3.0603/0629 Isnin, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8304/8353 daripada 3.8367/8405 dan menokok berbanding euro kepada 4.5985/6044 daripada 4.5993/6043.

Menurut laporan Berita Harian, berkata perbandingan antara pound, ringgit merosot kepada 5.3871/3939 daripada 5.3804/3847 Isnin.