Rina Harun sediakan sarapan percuma untuk staf KPWM sepanjang PKP

MEMAHAMI kesukaran staf yang harus bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWM) telah menyediakan sarapan pagi secara percuma.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, sebagai permulaan, sarapan percuma itu akan dibekalkan pada setiap hari Jumaat pertama setiap bulan.

“Alhamdulillah… Dapat menunaikan hasrat untuk menyediakan sarapan buat warga kerja KPWKM. Sebagai permulaan, sarapan akan dibekalkan pada setiap hari Jumaat pertama setiap bulan.

“Saya faham dalam tempoh PKP ini, banyak gerai makanan dan restoran ditutup sehinggakan ramai anak buah saya perlu menyediakan makanan sendiri biarpun terikat dengan jadual kerja yang ketat,” tulisnya pada entri Instagram @rinaharunofficial sebentar tadi.

Rina berkata, beliau berharap agar inisiatif ini dapat mengukir sedikit senyuman buat warga kerja yang sentiasa komited dalam memperjuangkan hak wanita, keluarga dan masyarakat. – TheNewsMalaysia