Intan dan Harris selamat diijab kabul, honeymoon kat rumah je sebab PKP

DENGAN sekali lafaz, pelakon Intan Ladyana, 38, sah bergelar isteri kepada penyanyi dan pelakon, Harris Alif, 22, kira kira jam 10 pagi tadi di Pejabat Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur, lapor Utusan Malaysia.

Harris berkata, dia bersyukur majlis pernikahannya dengan wanita pilihan berjalan lancar walaupun terpaksa menginjak tarikh pernikahan sehari awal daripada perancangan mereka.

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur kerana dah selesai nikah walaupun umum kita tahu sekarang ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0) susah nak buat majlis,” ujar Harris lega dalam satu sesi sedang media secara virtual usai majlis berlangsung.

Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali. Turut hadir dan menyaksikan penyatuan Harris dan Intan adalah Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.

Harris menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang, pada majlis itu. Mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian.

Ditebak mengenai bulan madu, bagaimanapun kedua mempelai itu pasrah dan akur dengan situasi kini.

“Perasaan tentunya terasa sikit namun kena biasakan dengan norma baharu ini. Bila keadaan kembali seperti sedia kala barulah rancang untuk pergi, jadi buat masa ini duduk sahajalah di rumah,” kata Harris.

Sumber: Utusan Malaysia