Remaja OKU lemas ketika memancing

Kredit- JohorKini

Seorang remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) didapati lemas ketika memancing bersama kawannya di sungai bertempat kampung Baru Sungai Telor, Kota Tinggi, Hari ini.

Seterusnya, Kejadian dipercayai berlaku pada waktu pagi. Mangsa yang bernama Mohd Muizzudin Mohd Nasir, 18, merupakan pelajar Pusat Pendidikan Khas (PDK) di Taman Sri Saujana, meninggal dunia, manakala rakannya Mohd Haikal Iskandar Halim, 13, selamat dari kejadian lemas tersebut. 

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, mangsa bersama tiga rakannya yang lain menuju ke sungai tersebut dengan niat untuk memancing tetapi kejadian tidak dijangka berlaku.

“Mangsa telah tergelincir dan jatuh ke dalam sungai tersebut. Semasa kejadian, Seorang rakan mangsa bernama Mohd Haikal cuba menyelamatkan tetapi gagal untuk berpaut dan hampir lemas.

“Kemudian rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan melintas jalan raya di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Norahpandi Samsudin turut berkata, pihaknya menerima panggilan dalam lingkungan jam 11.26 pagi tadi ekoran aduan mangsa lemas.

Sebaik sahaja mendapat panggilan, seramai 12 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, terus menuju ke tempat kejadian bersama jentera dan kenderaan mereka.

“Operasi mencari menyelamat Mohd Muizzudin dilakukan melalui operasi membuat ‘surface and searching’ dengan dua unit bot orang kampung dalam jarak 500 meter dari lokasi pertama mangsa dipercayai jatuh.

“Selain itu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut membuat pencarian di permukaan air menggunakan tali.

“Pencarian juga dilakukan di sekitar tebing sungai bersama orang kampung sebelum mangsa dijumpai oleh pasukan PPDA pada jam 3.05 petang di dasar sungai pada jarak 50 meter dari tempat pertama mangsa dipercayai jatuh,” katanya dipetik JohorKini.

Tambahnya lagi, seramai tujuh anggota Polis Diraja Malaysia dan empat orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas.

Bagaimanapun, menurut sumber JohorKini, mayat mangsa telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk lanjutan siasatan. Turut difahamkan, bahawa operasi meyelamat ditamatkan lingkungan jam 4.10 petang hari ini.