Remaja Lelaki Hilang Ketika Mandi Di Pantai Ditemui Lemas

Foto : Kosmo

Remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Kampung Tanjung Aru Menumbok pada Isnin ditemukan lemas petang semalam.

Mangsa Haibil Abdo, 17, ditemui terdampar di tepi pantai oleh orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira pukul 4.30 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, waris mangsa sudah membuat pengecaman.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu operasi SAR Maritim diaktifkan pada jam 1 tengah hari kelmarin bagi mengesan mangsa selepas hilang akibat hanyut dibawa arus yang kuat ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira 6 petang, 17 Julai lalu.

Dalam pada itu, Nudin memaklumkan keadaan laut sekitar lokasi kejadian dalam keadaan yang kurang baik dengan ombak setinggi 3.5 meter dan kelajuan angin mencapai 40 ke 50 kilometer perjam (km/j) ketika operasi dijalankan. 

Sumber : Kosmo