Remaja Hampir Lemas Ditarik Arus Ombak Diselamatkan Nelayan

Tindakan pantas nelayan berjaya menyelamatkan seorang remaja lelaki daripada lemas selepas ditarik arus ombak hingga ke tengah laut dalam kejadian di Pantai Pandak, Chendering.

Mangsa, Muhammad Nashran Shafi Shahirwan bersama keluarganya tiba di Terengganu dari Melaka untuk bercuti. Remaja berkenaan mandi manda di kawasan itu bersama bapanya sebelum nyaris lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, kejadian menimpa remaja berusia 17 tahun itu disedari kira-kira jam 9 pagi pada Jumaat.

“Sebaik tiba di situ, mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan yang kebetulan berada berdekatan dengan kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.