Remaja 15 Tahun Tipu Diculik, ‘Scam’ Duit Ibu RM 25, 000

Criminal in handcuffs

Seorang remaja berusia 15 tahun tergamak berkomplot dengan kawan-kawan dan ‘scam’ ibunya sendiri untuk dapatkan wang.

Ibu kepada remaja terbabit berputih mata apabila wang simpanannya di Tabung Haji berjumlah RM25,000 lesap selepas ditipu oleh anaknya sendiri yang mendakwa kononnya dia ditahan polis.

Bagaimanapun, tindakan remaja terbabit bersama dua rakannya yang berusia 17 tahun dan 29 tahun terbongkar selepas ibunya berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu klinik membuat semakan polis menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu.

Menurut  Arshad Abu, sebelum kejadian mangsa mendapati anak tunggalnya itu tidak pulang ke rumah beberapa hari sebelum dia berjumpa rakan anaknya yang berusia 17 tahun. Rakan anaknya memberitahu kononnya remaja berkenaan ditahan di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

“Remaja itu kemudian menyatakan bahawa anak pengadu telah ditahan dan memerlukan wang sebanyak RM25,000 untuk dibebaskan sebelum mangsa pergi ke Tabung Haji dan mengeluarkan wang berkenaan.

“Wanita itu kemudian menyerahkan wang tersebut secara tunai kepada rakan anaknya itu dan dalam kejadian ini seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang juga rakan kepada kedua-dua remaja ini telah terlibat dan memainkan peranan menyamar sebagai anggota polis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Namun, selepas penyerahan wang tuna dibuat, anak mangsa kemudian telah pulang ke rumah.

Beliau berkata, bagaimanapun beberapa hari kemudian mangsa telah membuat semakan di balai polis melalui adik iparnya dan mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas anaknya itu.

“Dalam perkara ini mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu oleh rakan anak dan telah membuat laporan polis pada 2 Disember 2023.

“Pihak polis kemudian telah menahan ketiga-tiga suspek (termasuk anak mangsa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama,”ujarnya.

Tambahnya ketiga-tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada esok.