Dua Beradik Lelaki Hilang – Suspek Kurung, Cabul dan Liwat Mangsa

Baca : Dua Beradik Lelaki Hilang Sejak Isnin

Seorang dariapda dua beradik lelaki yang dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu selepas hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor ditemui tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni, pada malam, 11 Januari lepas.

Menurut laporan Sinar Harian, Ibu mangsa yang berusia 39 tahun berkata, anaknya yang mesra dengan panggilan Along, berusia 17 tahun mendakwa dia dan adiknya, yang berusia 16 tahun, telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.

“Along mendakwa dia dikurung bersama adiknya sehingga 9 Januari lepas sebelum dipisahkan. Dia bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika lelaki yang menjaganya tertidur akibat pengaruh dadah dan turut berjaya melarikan telefon bimbit milik lelaki itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.

 

Susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan diterima pihaknya daripada seorang remaja berusia 16 tahun pada jam 2.48 pagi, 12 Januari lalu.

Remaja berkenaan memaklumkan perbuatan cabul dan diliwat oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Sultan.

“Bertindak atas maklumat, risikan pihak polis telah berjaya menahan individu berusia 42 tahun itu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut di hadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.

“Suspek telah direman tujuh hari sehingga 19 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Allaudeen juga menjelaskan remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana yang dilaporkan.

Sebaliknya, jelas beliau, remaja itu telah keluar dari rumahnya di Hulu Bernam, Selangor dan terdapat siasatan berkenaan kes ini.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat berhubung kejadian ini di talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03- 21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Difahamkan, usaha mengesan adik mangsa berusia 15 tahun itu masih dijalankan pihak polis.

Sumber : Sinar Harian