Ramadan dalam tempoh PKP, teruskan trend pematuhan PKP

Bulan Ramadan semakin hampir dan umat Islam negara ini pastinya akan menyambut ketibaan bulan suci itu dalam suasana berbeza tahun ini apabila perlu melalui ibadah puasa dalam tempoh pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April ini.

Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia telah ditetapkan esok, bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Menariknya, umat Islam akan menyambutnya dengan suasana norma baharu, antaranya melalui e-bazar tanpa ada fizikal bazar Ramadan lagi seperti saban tahun demi memerangi penularan wabak COVID-19, dan jika tempoh PKP tidak dilanjutkan pun, keadaan tahun ini sudah pasti tetap berbeza.

Selain itu, tahun ini juga tiada solat tarawih berjemaah di surau atau masjid kerana ia antara usaha penting memutuskan rantaian wabak COVID-19,.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya semalam, berkata kepatuhan masyarakat terhadap PKP adalah amat penting dalam membantu kerajaan menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti.

Ini terutama bagi memastikan tidak berlaku jangkitan merentas negeri, daerah dan mukim, malah pematuhan masyarakat terhadap PKP akan seterusnya memastikan penularan jangkitan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

Jika kita imbas, kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu kekal di bawah 100 kes dan lebih banyak kes pulih dilaporkan namun, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia tidak bermakna orang ramai boleh melanggar segala peraturan PKP.

Semalam, beliau yang juga Menteri Pertahanan, mengingatkan, segala peraturan selama ini masih terus kekal dan pematuhan kepada peraturan berkenaan perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

Seharusnya perkembangan baik ini boleh dijadikan perkara positif supaya pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih tegas lagi untuk memastikan masyarakat terus mematuhi setiap arahan PKP.

Sikap kita dalam mematuhi arahan ini akan menentukan sejauh mana PKP ini akan dilaksanakan dan kita seharusnya boleh mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura di mana republik itu telah melanjutkan langkah pencegahan lebih ketat selama empat minggu lagi sehingga 1 Jun.

Oleh itu, adalah penting untuk kita memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dan pada masa yang sama menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus setiap hari dalam tugasan mereka.

Malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam turut menzahirkan penghargaan kepada hero alaf baharu ini yang memainkan watak penting sehingga Malaysia mendapat pengiktirafan dunia dalam menangani penularan COVID-19.

Kita semua akan terus diuji dan memerlukan satu sama lain dalam perang ke atas COVID-19 ini.

Pastinya antara persoalan bermain di minda adalah status PKP fasa tiga yang akan tamat dalam enam hari lagi. Adakah ia akan dilanjutkan? Pastinya situasi semasa dan usaha kita memerangi COVID-19 akan menentukannya.

— BERNAMA

Most Popular

Buat kerja tak ‘clean’, langgar ‘roadblock’ tapi tercicir nombor pendaftaran. Akhirnya kena tangkap dalam ladang kelapa sawit

TINDAKAN seorang individu lelaki tempatan melanggar sekatan jalan raya di laluan keluar tol Damansara akhirnya berjaya dikesan apabila nombor pendaftaran kenderaannya tercicir...

Tiga peluru tembus badan anggota PGA – KPN

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am yang mengalami kecederaan parah susulan insiden berbalas tembakan di sempadan dilapor stabil. Menurut Ketua Polis...

Luahan hati isteri anggota PGA mati ditembak penyeludup runtun perasaan netizen – “Suami tinggalkan kami sebagai wira negara”

"KEMATIANNYA sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira," kata isteri...

Misteri ketukan pintu sudah menular ke Kuala Selangor?

MISTERI ketukan pintu tanpa salam yang sebelum ini menghantui penduduk di beberapa kampung di daerah Sabak Bernam mula 'merebak' ke Tanjong Karang...