COVID-19: Tiada solat tarawih berjemaah, iftar di masjid dan surau

KUALA TERENGGANU: Semua masjid dan surau di negeri ini tidak dibenarkan mengadakan solat tarawih berjemaah dan program iftar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, berkata keputusan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

 

Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah memperkenankan solat sunat tarawih serta aktiviti keagamaan, termasuk program iftar di masjid dan surau tidak diadakan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Keputusan tidak membenarkan solat sunat tarawih dan aktiviti keagamaan di semua masjid serta surau itu adalah selaras dengan arahan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

“Dengan keputusan itu, masyarakat Islam digalak melakukan solat sunat tarawih di rumah bersama ahli keluarga kerana ia tidak mendedahkan diri kepada risiko penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Umat Islam dijangka menjalani ibadah puasa mulai Jumaat ini dan tempoh PKP fasa ketiga dilanjutkan sehingga 28 April.

Osman berkata demikian ketika diminta mengulas kekeliruan umat Islam di negeri ini mengenai solat sunat tarawih sama ada dibenarkan dilakukan di masjid atau surau sepanjang Ramadan ini.

Selasa lalu, Sultan Mizan berkenan melanjutkan tempoh penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau sehingga 28 April ini.

Osman menjelaskan, penangguhan itu diputuskan selaras dengan lanjutan tempoh PKP fasa ketiga yang berkuat kuasa 14 April lalu sehingga 28 April ini.

Beliau berkata, penangguhan semua aktiviti keagamaan, termasuk solat lima waktu, solat tarawih berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri akan diselaraskan sama seperti tempoh pelanjutan PKP akan ditetapkan kerajaan.

“Dengan keputusan itu, jika PKP dilanjutkan kerajaan selepas berakhirnya fasa ketiga 28 April ini, secara automatik semua aktiviti keagamaan termasuk solat lima waktu dan solat sunat tarawih berjemaah turut ditangguhkan.

“Fatwa isu COVID-19 berkaitan dengan aktiviti keagamaan di seluruh negeri dikeluarkan Majlis Fatwa negeri pada 17 Mac lalu dirujuk,” katanya.

-Berita Harian