Malaysia Bantah Tuntutan China Di Laut China Selatan- Menteri Luar

Foto: I Love Borneo

KUALA LUMPUR, 1 September- Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia.



Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut merupakan langkah susulan yang diambil kerajaan dalam isu berkenaan.

“Kerajaan akan menghantar nota bantahan kepada China berhubung tuntutan negara itu di Laut China Selatan.

”Kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan.

Peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.



Kementerian Sumber Asli China pada Isnin lalu mengeluarkan ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang turut meliputi kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam, selain beberapa kawasan di India.