Polis Tahan Bapa Mengamuk, Serang Guru Ditangkap Hisap Rokok

 

Seorang bapa yang mengamuk dan mengugut seorang guru di sebuah sekolah diberkas polis semalam.

Bapa berusia 49 tahun itu dipercayai berang terhadap seorang guru yang menangkap anaknya merokok di dalam tandas sekolah. Pelajar yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudiannya menghubungi bapanya dan meminta untuk datang ke sekolah sebelum lelaki tersebut menyerang guru terbabit.

Perbuatan seorang bapa berusia 49 tahun mengugut guru sekolah memakan diri apabila dia diberkas polis semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas guru terbabit membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9 pagi.

“Keadaan menjadi tegang apabila suspek datang dalam keadaan marah dan mendakwa guru terbabit memukul anak lelakinya.

“Guru itu cuba menerangkan kejadian sebenar, namun suspek tidak dapat menerima dan memaki hamun serta mengamuk di dalam kawasan sekolah.

“Suspek turut bertindak agresif termasuk menolak dan mencekik guru sehingga hampir terjatuh. Beberapa guru membantu menenangkan keadaan dan kejadian sempat dirakam individu lain sebelum tular dalam media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pelajar terbabit masih dibenarkan menduduki SPM walaupun sudah dibuang sekolah.