Home Berita Semasa Kerajaan Dukung Sepenuhnya Titah Sultan Ibrahim Teruskan Tadbir Urus Yang Baik dan...

Kerajaan Dukung Sepenuhnya Titah Sultan Ibrahim Teruskan Tadbir Urus Yang Baik dan Telus

Kerajaan Perpaduan mendukung penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu melihat pentadbiran Malaysia meneruskan tadbir urus yang baik dan telus dalam usaha meningkatkan darjat hidup rakyat

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasminya di X menyeru agar semua pihak untuk bersama-sama meraikan permulaan tampuk pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Sesungguhnya, pandangan jauh lagi berwawasan yang dizahirkan oleh Duli Tuanku menerusi peranan penting baginda sebagai Raja Berperlembagaan telah memungkinkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi seperti yang kita nikmati dan saksikan pada hari ini.

“Kerajaan MADANI mendukung sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Baginda sebelum ini yang ingin melihat negara ini meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi yang mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat.

“Ini juga merupakan hasrat jutaan rakyat yang ingin terus melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara menggantikan Al-Sultan Abdullah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam.
Sumber : X Anwar Ibrahim