CAAM Sahkan Tiada Panggilan Kecemasan Sebelum Terhempas, Pesawat Melencong Dari Laluan Mendarat

Foto: Harian Metro

SUBANG – Pesawat N28JV yang disahkan terhempas petang tadi, dipercayai melencong dari laluan asal pendaratan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook Anthony Loke, berkata, namun ia hanya berdasarkan pemerhatian awal, dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.

“Siasatan sedang dijalankan dan saya tidak dapat beri maklum balas sahih ketika ini.

“Saya cuma boleh katakan berdasarkan pengamatan awal, pesawat itu telah melencong ke tepi iaitu ke bahagian kanan dari laluan mendarat.

“Ia telah pun terima kebenaran untuk mendarat tetapi selepas tiga minit, menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS), telah mengesan kepulan asap di kawasan tragedi berlaku,” katanya ketika sidang akhbar di sini, tadi.

Dalam masa sama, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa pesawat N28JV tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum terhempas, petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, berkata, menara kawalan Trafik Udara Subang hanya dapat mengesan kepulan asap berhampiran (LTSAAS) iaitu pada pukul 2.51 petang.

Sebelumnya Kosmo! melaporkan, syarikat penerbangan, Jaet Valet mengesahkan pesawat peribadi jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas dalam kejadian di Lebuh raya Guthrie, dekat Elmina, kira-kira pukul 2.40 petang tadi, adalah pesawat milik syarikat tersebut.

Antara 10 mangsa terkorban ialah Exco Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai di bawah Parlimen Bentong, Datuk Seri Johari Harun. 

Sumber: Kosmo