Pishang kat rumah, warga emas ditahan kantoi berjudi – Kempunan sambut Tahun Baharu Cina

AKIBAT terlalu bosan berada di rumah, seramai 20 individu warga emas tetap berdegil untuk keluar malah melakukan aktiviti perjudian.

Itu antara alasan yang diberikan apabila kesemua mereka ditahan polis dalam satu serbuan di George Town, Pulang Pinang pada awal pagi tadi.

Menurut pihak polis sebahagian besar daripada mereka tidak sedar akan kehadiran pihak polis disebabkan leka bermain judi.

Terkejut dengan kehadiran polis selain tidak sempat menyelamatkan diri, ada diantara mereka yang membuat rayuan kepada polis agar tidak ditahan atas alasan ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurut Rahimi, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 50 hingga 70 tahun terdiri daripada lima wanita.

Mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) ARJT 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- TheNewsMalaysia