Pihak Berkuasa Agama Diminta Jadi Pencelah Dalam Kes Nik Elin Zurina

Foto : otai bersih

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan dengan sebaiknya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan, kerajaan akan sentiasa mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di negara ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu kenyataan dalam reaksi terhadap kes Nik Elin Zurina Lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan berkata, usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

“Saya menyeru semua pihak khususnya pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepentingan terhadap agama Islam untuk terlibat sama di dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin memberikan jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mempertahan serta menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia. Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri termasuk institusi perundangan dan kehakiman syariah negeri yang terletak secara mutlak di bawah DYMM Sultan dan Raja Pemerintah setiap negeri,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Selain itu katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah merangka agenda memperkasa institusi mahkamah syariah melalui Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah di mana ia telah diperakukan sebagai sebuah Jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Datuk Dr. Naim bagaimanapun ambil maklum kes tersebut masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebarang komentar berkaitan kes ini diklasifikasikan sebagai sub-judice.

Tambahnya, Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun- rukun Islam.

Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan.

“Justeru, adalah penting untuk umat Islam di Malaysia mengetahui bahawa adalah menjadi keutamaan saya sejak dari dahulu ketika menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk meletakkan kehakiman syariah ditempat yang tinggi dan terhormat, apatah lagi kini saya selaku Menteri Hal Ehwal Agama, tentulah ia terus menjadi agenda utama dalam pentadbiran saya.

” InsyaAllah, berkat kerjasama semua pihak dan doa daripada rakyat jelata yang cintakan kepada institusi kehakiman syariah supaya ia dimartabatkan, dilindungi serta dipelihara,”katanya mengakhiri kenyataan tersebut.