KKD Perkenalkan Pakej 5G RAHMAH Dan Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam Sempena Bulan Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Sempena Bulan Kebangsaan, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat serta dua syarikat pengeluar peranti iaitu Samsung Malaysia dan Honor Malaysia bakal menawarkan Pakej 5G RAHMAH dan Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi satu kenyataan memaklumkan, kedua- duanya merupakan pakej perkhidmatan internet yang lebih murah berbanding pakej sedia ada di pasaran.

“Pakej 5G RAHMAH ialah pakej telefon pintar 5G pelan data (device bundle) dengan harga telefon pintar jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G serendah RM240.00 berserta pelan data sebanyak 60GB pada harga RM60.00 sebulan.

“Pakej ini terbuka untuk dilanggan oleh seluruh rakyat Malaysia. Bagi golongan B40, sejumlah 100,000 pelanggan terawal akan menikmati Pakej 5G RAHMAH dengan harga telefon pintar serendah RM120.00. Pakej tersebut akan berada di pasaran bermula pada 31 Ogos 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan,”katanya.

Pakej tersebut menawarkan tempoh waranti dua tahun berbanding hanya setahun sebelum ini.

Tambahnya, sebagai menghargai penjawat awam, Insentif Postpaid RAHMAH Penjawat Awam turut diperkenalkan dengan pemberian rebat RM10 sebulan yang akan dinikmati oleh semua penjawat awam di Malaysia.

“lanya terpakai untuk mana-mana pakej
postpaid sedia ada. Ini bermakna, penjawat awam mendapat manfaat penjimatan pakej postpaid sebanyak RM120 setahun. Pakej ini juga akan berkuatkuasa bermula 31 Ogos 2023,”menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Fahmi berkata, Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha merapatkan jurang digital serta memastikan rakyat mendapat internet berkualiti pada harga berpatutan.

Ia juga katanya selari dengan visi dan kerangka Ekonomi MADANI yang turut memberi fokus kepada inisiatif mengurangkan beban ekonomi rakyat.