Persoal data covid-19, netizen mahu tahu faktor sebenar peningkatan kes

BARU-BARU ini, tular satu video yang dikongsi oleh pengguna Tiktok @penceritatv atau Azrul Affandi Sobry mengenai data covid-19.

Dalam video tersebut, Azrul Affandi mempersoalkan dari mana datangnya data kenaikan covid-19 dan apakah faktor sebenar diatas peningkatan kes setiap hari.

Jelasnya yang tiada niat untuk mempertikai, apabila kes peningkatan covid-19 berlaku, yang akan menjadi tumpuan adalah bazar ramadan dan juga solat terawih. Bukan setakat itu, malah dua aktiviti popular pada bulan ramadan itu juga akan disekat walaupun tidak terdapat kluster besar-besaran dari aktiviti ini.

Video yang dikongsi oleh @penceritatv

Azrul Affandi juga menjelaskan, jika ada beberapa kes covid-19 yang terjadi disebabkan bazar dan juga aktiviti ke masjid, sudah pasti ia akan mengambil masa dua minggu untuk mengetahui keputusan dan dia juga tidak menafikan potensi yang bakal terjadi daripada dua aktiviti ini.

Selain itu, dia juga mempersoalkan mengenai kluster kilang dan kluster pendidikan kerana sebelum ini menurut laporan media ada menteri yang menjelaskan bahawa terdapat peningkatan mendadak daripada kedua kluster ini.

Di samping itu, dirinya yang juga merupakan seorang wartawan ada mengulas hal ini bersama pakar virologi, Prof. Dr Sazaly Abu Bakar yang mengatakan bahawa isu bazar ramadan ini tidaklah terlalu besar kerana selagi orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pemantauan yang ketat.

Ini adalah kerana risikonya jika nak dibandingkan dengan kluster di tempat kerja adalah tidak terlalu ketara.

Video yang mendapat tontonan lebih dari 2.6 juta ini mendapat pelbagai reaksi dan rata-rata netizen bersetuju dengan apa yang disampaikan kerana mereka terlalu ‘penat’ dan simpati dengan nasib yang menimpa para peniaga di bazar ramadan.