Pelajar matrikulasi dikompaun RM1,500? Jabatan Kesihatan Perak siasat aduan

JABATAN Kesihatan Perak menjalankan siasatan terhadap aduan kompaun RM1,500 yang dikeluarkan kepada pelajar Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng atas kesalahan tidak memakai pelitup muka sepertimana tular di media sosial.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan balas di laman Twitter pada malam Isnin.

Jelasnya, siasatan segera sedang dijalankan oleh jabatan itu agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Tweet yang tular di laman sosial.

“Terima kasih atas aduan ini kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin. Insya-ALLAH,” tulisnya.

Noor Hisham berkata demikian ketika membalas ciapan seorang pemilik akaun bernama @NabilAmirul4 yang mendakwa pelajar matrikulasi terbabit dikenakan kompaun RM1,500 oleh pegawai KKM yang datang ke kafe kolej berkenaan.

Ciapan itu meluahkan rasa kesal dengan kompaun yang dikenakan sedangkan elaun diterima mereka sebagai pelajar kolej itu bagi tempoh enam bulan hanya RM1,250.

Pada Isnin tular di media sosial Twitter apabila ada beberapa akaun yang mendakwa terdapat pelajar matrikulasi dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur pematuhan standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup mulut di dalam kawasan kolej.

Perkara yang membuatkan ramai berasa kesal adalah pelajar tersebut langsung tidak dibenarkan keluar ke mana-mana sejak semester dibuka dan pihak berkuasa yang masuk ke dalam kolej untuk membuat pemeriksaan telah mengenakan kompaun kepada mereka tanpa budi bicara.

Terdapat juga video menunjukkan pelajar-pelajar matrikulasi itu disaman sehingga membuatkan warganet mempersoalkan tindakan tersebut.

Sumber: Sinar Harian