Perbadanan Stadium Malaysia Mohon Maaf Atas Kondisi Padang Stadium Bukit Jalil

Selepas tular isu kerosakan di Padang Stadium Nasional Bukit Jalil, Perbadanan Stadium Malaysia telah memuatnaik kenyataan memohon maaf kepada semua peminat bola sepak negara. PSM juga memaklumkan mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaiki keadaan padang berkenaan selepas Konsert Coldplay diadakan pada 22 November yang lalu.

“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan semua para peminat sukan bola sepak negara, terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim F.C, Terengganu FC serta semua penyokong kedua-dua pasukan atas keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ yang kurang memuaskan bagi berdepan

dengan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung pada 8 Disember 2023.

PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu. PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan.”

PERBADANAN STADIUM MALAYSIA

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor pernah menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap kondisi padang Stadium Nasional Bukit Jalil. Malah, pada hari ini juga TMJ telah meninjau keadaan padang tersebut dan menyatakan kebimbangannya terhadap kualiti permainan untuk perlawanan di antara JDT dan Terengganu dalam Final Piala Malaysia esok.

Tambah TMJ lagi, pemain kedua-dua pasukan berisiko mendapat kecederaan akibat masalah padang yang rosak.

“Main boleh main. Tetapi quality game akan low. Yang membimbangkan adalah pemain utama/pemain kebangsaan macam Corbin (Ong), Arif Aiman (Hanapi), Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Shahrul Saad, dan Afiq Fazail cedera.

“(Risiko cedera) buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar,” tulisnya.

Isu ini telah mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya peminat bola sepak negara tentang mutu fasiliti untuk perkembangan bola sepak negara.

Sumber: Perbadanan Stadium Malaysia, Berita Harian