Perak Bakal Pasang 1,000 Lampu Jalan Solar Di Kawasan Pedalaman

Foto: Kosmo

TAIPING – Kerajaan negeri menyeru dan menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk sama-sama mengambil langkah penjimatan melalui penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih lestari seperti tenaga Solar sejajar dengan teras ketiga pelan Perak Sejahtera 2030.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri sudah pun melaksanakan kerjasama strategik dengan pihak swasta dalam pembangunan tenaga solar.

“Antara projek berskala besar yang dibangunkan di negeri ini ialah di Ranhill Solar 1 Ladang Bikam dengan berkapasiti 50 megawatt (MW), ladang solar di Simpang Pulai dengan kapasiti 1.5MW dan pelaburan sebanyak RM150 juta oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Bidor seluas 43 ekar yang menjana 30 MW.

“Saya difahamkan, syarikat pengeluar tayar, Toyo Tires di peringkat global juga telah memulakan projek solar di kilangnya dan Toyo Tire Malaysia menjadi model contoh syarikat multinasional yang akan melaksanakan Projek Mega Solar ini sejajar dengan teras pelan ketiga Perak Sejahtera 2030 iaitu kelestarian penggunaan sumber alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Projek Solar Toyo Tires Malaysia di kawasan perindustrian Kamunting di sini hari ini.

Menurutnya, syarikat pengeluar tayar itu menyasarkan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui di kilang pembuatan Malaysia menjelang Januari 2025.

“Saya difahamkan, projek solar korporat ini merupakan terbesar di Perak melibatkan pelaburan sebanyak RM30 juta untuk fotovoltaik (FV) solar berkapasiti 14 MV di atas bumbung kilang.

“Difahamkan, sebanyak 26,044 keping unit panel solar akan dipasang di atas bumbung kilang seluas 96,000 meter persegi dan menjadi yang pertama dan terbesar di Perak setakat hari ini,” katanya.

Katanya, usaha yang dilaksanakan Toyo Tires itu diharapkan akan menjadi contoh kepada syarikat lain dalam memulakan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang susulan peningkatan tarif elektrik yang kian menghambat pengguna dan industri.

Menurut Saarani, kerajaan negeri juga terus komited untuk menyebar luaskan inisiatif pembangunan teknologi hijau dengan mengalakkan pemasangan panel solar PV di bawah skim pemeteran tenaga bersih 3.0

“Inisiatif itu telah dilaksanakan di bangunan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) pada tahun 2022. Hasilnya menyaksikan purata penjimatan bil elektrik mencecah sehingga 26 peratus sebulan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan mengenal pasti lokasi yang memerlukan pemasangan lampu jalan solar pintar.

“Kerajaan negeri menyasarkan pemasangan 1,000 unit lampù jalan solar pintar secara berperingkat dikawasan pendalaman. Ia turut termasuk pemasangan di perkampungan Orang Asli di seluruh negeri Perak,” katanya. 

Sumber: Kosmo