Guru Sekolah Memandu Disuap RM650, Upah Luluskan Lesen GDL

Foto: Kosmo

SEREMBAN – Seorang guru sekolah memandu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah keseluruhan RM650 bagi meluluskan ujian memandu pelatihnya pada tahun 2019 dan 2020.

Tertuduh K. Rama Thevan, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut dua pertuduhan tersebut, Rama Thevan secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM350 dan RM300 daripada seorang lelaki sebagai upah untuk meluluskan ujian memandu vokasional lesen memandu perdagangan (GDL) sebelum ujian teori dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ).

Ia sehingga menyebabkan lelaki terbabit lulus ujian teori vokasional GDL tersebut dan telah mendapat lesen.

Kesalahan itu dilakukan pada 31 Disember 2019 dan 13 Februari 2020 di sebuah sekolah memandu di daerah ini.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu menerima suapan RM350 dan RM300 daripada lelaki sama sebagai galakan bagi mendorong JPJ membantu meluluskan ujian memandunya pada tarikh dan lokasi sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 163 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 diberikan kepada tertuduh.

Rama Thevan yang tidak diwakili peguam kemudian merayu supaya wang jaminannya dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM pada hari Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 20 September depan.

Sumber: Kosmo