Penjawat Awam Selangor Bakal Menerima ‘Duit Raya’

PENJAWAT awam di negeri Selangor akan menerima Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian insentif itu pada tahun ini melibatkan empat kategori dan akan dibayar ke akaun masing-masing selewat-lewatnya pada 21 April.

“Kategori pertama membabitkan bayaran satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Ahli Dewan Negeri serta guru Kafa.

“Kategori kedua pula diberikan sebulan elaun kepada pemimpin masyarakat yang lantik oleh kerajaan negeri merangkumi Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan (Perkampungan Baru/Bagan Tersusun, Ketua Komuniti India), Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan penggerak Belia Selangor (PEBS) serta Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kategori ketiga kepada penggerak masjid (nazir, imam rawatib, siak, bilal) serta guru rakyat (sekolah rendah agama, Kafa dan pra) sebanyak RM500,” katanya kepada Sinar Harian, Jumaat lalu.

Gambar : Sinar Harian

Tambah beliau, kategori keempat yang julung kali diperkenalkan membabitkan penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor yang bergaji pokok RM3,000 dan ke bawah.

“Mereka akan menerima insentif secara one-off sebanyak RM200 termasuk polis, tentera, guru serta jururawat yang penting berkhidmat di Selangor serta mengikut kriteria ditetapkan,” kata Amiruddin.

Ujarnya, anak syarikat yang bukan berorientasi keuntungan atau belum mencapai keuntungan seperti Hijrah dan WBS turut akan diberikan bantuan raya yang akan dibiayai oleh syarikat induk masing-masing.

“Pastikan tiada yang terlepas dan Inshaa ALLAH kesemua bayaran ini akan diterima di akaun masing-masing selewatnya 21 April depan.

“Semoga dengan pengumuman ini akan memberikan kelegaan dan menambah semangat menghidupkan Ramadan serta meneruskan momentum membangunkan Selangor bersama-sama,” katanya.

Gambar – The Patriots | Sumber : Sinar Harian