Pengankutan Awam, Bas Sekolah Bakal Dikecualikan Subsidi Bersasar Diesel

SUBSIDI bersasar bagi diesel yang akan diusahakan kelak, tidak akan dikenakan kepada bas sekolah dan pengangkutan awam untuk mengelak berlaku kenaikan tambang, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel akan bermula apabila perisian Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) siap iaitu dijangka pada separuh kedua tahun ini.

“Kita akan cuba menyelesaikan perisian untuk subsidi diesel, baru kita boleh lancarkan (subsidi bersasar diesel) tapi subsidi bersasar diesel ini tidak akan dikenakan kepada bas sekolah dan pengangkutan awam kerana kita tidak mahu ada kenaikan dari segi tambang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan e-Kaunter dan Piagam Pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Mohd Farid Nawawi.

Memetik laporan Harian Metro, Ahmad berkata, perkara itu akan disegerakan iaitu jawatankuasa khas untuk perkara tersebut telah ditubuhkan melibatkan beberapa jabatan untuk melihat kepada kaedah pelaksanaan, bagi subsidi bersasar petrol.

“Ada ahli Parlimen semalam menyebut tidak semua T20 boleh diketepikan daripada mendapat subsidi ini kerana T20 berpendapatan RM10,000 di Kuala Lumpur dengan T20 berpendapatan RM10,000 di Pontian tidak sama, tekanan kepada T20 di Kuala Lumpur tentu lebih tinggi.

“Ini antara perincian yang perlu diteliti sebelum kerajaan memutuskan untuk melaksanakan subsidi petrol RON95 secara bersasar,” katanya.

Ahmad berkata sekiranya subsidi bersasar bahan api iaitu petrol, diesel dan gas dilaksanakan bagi B40 dan M40 sahaja, kerajaan dapat menjimatkan sekitar RM16 bilion ke RM17 bilion.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro