Pengasas KK Mart Mohon Ampun Kepada Agong dan Umat Islam

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai di Istana Negara di sini pada Rabu.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dalam sesi yang berlangsung selama 15 minit itu Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.

— BERNAMA