Wanita Tikam Lelaki Ketika Lakukan Hubungan Seks

Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menikam seorang lelaki ketika melakukan hubungan seks di Kuala Krai.

Suspek wanita berusia 28 tahun telah menikam lelaki tersebut menggunakan pisau pemotong sayur sebanyak tiga kali di bahagian perut dalam kejadian pada 28 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, pihaknya menerima laporan terdapat seorang lelaki tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam di Dataran Lemang Manek Urai, Kuala Krai kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu.

“Hasil siasatan awal terhadap mangsa yang berusia 45 tahun itu mendapati ada kesan tikaman pada bahagian perut, namun tiada sebarang kesan darah dijumpai di lokasi dia ditemui.

“Hasil semakan rekod mendapati mangsa merupakan suspek bagi kes kurungan salah terhadap seorang wanita di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan

“Mangsa turut mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mangsa membawa suspek dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu ke beberapa kawasan di sekitar daerah Kuala Krai. Kemudian, mangsa telah melarikan diri selepas suspek berjaya melepaskan diri dari pengawasannya.

Selepas ditikam, mangsa tidak mendapatkan rawatan hingga menyebabkan jangkitan kuman pada bahagian luka yang dalam menembusi abdomen serta terkena usus najis.

Sumber : Sinar Harian